KERJAYA SEORANG JURUTERBANG
Industri penerbangan adalah satu industri yang unik dan berdaya maju untuk mendatangkan pulangan kepada negara. Ia juga suatu industri yang strategik dan sensitif kepada isu-isu keselamatan dan kesejahteraan, samada kepada penumpang, pengguna perkhidmatannya, mahupun keselamatan negara amnya. Oleh kerana itu, industri ini dikawal-selia oleh pelbagai peraturan, perundangan dan garis panduan yang ketat, yang sebahagian besarnya perlu diselaraskan dengan keperluan piawaian industri penerbangan antarabangsa. Dengan demikian, tenaga kerja yang terlibat d idalam industri ini, samada juruterbang, jurutera kapal terbang, mekanik mahupun pengawal trafik udara, perlu dilatih dan mendapat kelulusan, sijil serta lesen yang khusus, yang juga diiktiraf secara global.
Kerjaya sebagai juruterbang sememangnya glamor tetapi penuh cabaran serta berisiko. Ramai anak muda sama ada lelaki atau perempuan menyimpan azam dan cita-cita untuk bergelar seorang juruterbang. Kerjaya ini menuntut seseorang itu berdepan dengan cabaran dan tidak gentar memandu pesawat di awan biru. Memandu kapal terbang bukan seperti memandu kereta atau kenderaan lain kerana cara pengendalian amat berbeza. Untuk memahirkan diri, seseorang itu perlu menjalani latihan khas di pusat-pusat atau sekolah-sekolah latihan penerbangan sama ada di dalam atau luar negara.
Juruterbang yang berkemahiran dan terlatih mampu menerbangkan pesawat penumpang dan kargo tanpa mengira sama ada perjalanan itu jauh atau dekat. Tugas para juruterbang bermula selewat-lewatnya satu jam sebelum penerbangan. Mereka akan melaporkan diri dan menerima taklimat dan maklumat tentang setiap penerbangan yang bakal dilakukan. Sebelum penerbangan juruterbang akan menyemak pelan penerbangan berdasarkan keadaan caca, suhu, kelajuan angin dan berat pesawat semasa berlepas serta ukeperluan bahan api di samping memeriksa kelengkapan dan peralatan elektronik. Semasa dalam penerbangan pula, juruterbang akan membuat pemeriksaan rutin terhadap semua sistem yang beroperasi dan menerima serta melaksanakan arahan daripada pengawal lalu lintas udara dari mula hingga akhir penerbangan.
Keadaan yang paling mencabar ketika bertugas ialah semasa berlepas, pendakian, penurunan dan pendaratan yang mana memerlukan penumpuan penuh setiap juruterbang agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Selepas mendapat lesen, juruterbang berpeluang memandu pelbagai jenis pesawat seperti Fokker, Airbus, DC-10 dan Boeing. Kerjaya ini sekarang terbuka luas berikutan perkembangan pesat industri penerbangan dalam dan luar negara. Terdapat banyak syarikat penerbangan sama ada di dalam mahupun luar negara yang menyediakan peluang pekerjaan sebagai juruterbang. Dari segi pendapatan pula, kerjaya ini menjanjikan gaji yang cukup lumayan serta ditambah dengan pelbagai insentif lain selaras dengan tugasnya yang cukup mencabar dan berisiko (Mohd. Yahya Mohamed Ariffin, 2005).
No comments:
Post a Comment